IPOH: Polis Perak akan menempatkan seramai 800 pegawai dan anggota untuk bertugas menjaga keselamatan orang awam sempena perayaan Thaipusam pada Khamis ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya juga telah mengatur tindakan awal pencegahan jenayah sepanjang tempoh perayaan itu berlangsung.

“Ini bagi memastikan perayaan Thaipusam dapat disambut dalam suasana aman dan damai, kita telah pun bersiap siaga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Beliau memberitahu, terdapat enam kuil di Perak yang akan mengadakan sambutan secara besar-besaran sempena perayaan berkenaan.

Menurutnya, kuil-kuil itu ialah Kallumalai Sri Subramaniam Alayam dan Sri Subramaniam Alayam di Ipoh, Sri Subramniyar Alayam, Sungai Siput, Sri Subramaniar Alayam, Sitiawan, Sri Thandayuthabani Alayam, Tapah dan Sri Ayyanar Ayalam, Taiping.

Hasnan berkata, sempena sambutan perayaan itu di Ipoh, beberapa jalan akan ditutup kepada lalulintas mulai esok dan Khamis.

Katanya, antara jalan itu ialah Jalan Raja Muda Aziz, Bulatan Hospital, Jalan Medan Istana dan Jalan Panglima Bukit Gantang

“Selain itu, Jalan Lim Boon Seng, Jalan Dato’ Onn Jaafar, Jalan SP Seenivasagam,Jalan Sultan Yusof, Jalan Falim dan Jalan Tun Perak turut ditutup bagi tempoh berkenaan,” tambahnya.