ALOR PONGSU : Seramai 800 pelajar sekolah rendah, termasuk 100 pelajar pra-sekolah dari 69 sekolah di daerah Kerian mengambil bahagian dalam program Jom Membaca sempena Hari Membaca Sedunia di daerah Kerian di sini pada Rabu.

Program sehati itu adalah anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Warga Ceria Malaysia, Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA, Pusat Khidmat Adun Alor Pangsu dan Integration of Recods Community.

Program tersebut antara lain bertujuan membudayakan tabiat membaca buku di kalangan golongan muda.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, ledakan teknologi tidak seharusnya menggantikan budaya membaca buku yang masih penting dan menyumbang ke arah kemajuan sesebuah bangsa dan negara.

Terdahulu, program tersebut dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) Datuk Aminudin Hashim.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM Prof. Madya Dr Mohd Sazali Shahibi dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Ceria Malaysia Che Maslina Usop.

Aminudin di dalam ucapannya berkata, walaupun kemudahan teknologi seperti telefon pintar, pelbagai platfom sosial media serta laman web membantu dalam usaha memperolehi maklumat pada hujung jari, ianya masih belum mampu menggantikan ilmu yang terkandung di dalam buku.

“Buku adalah jendela dunia di mana membaca merupakan kuncinya. Ianya jambatan ilmu dan mesti dijadikan satu tabiat dan budaya terutamanya oleh kanak-kanak dan golongan muda,” katanya.

Program Jom Membaca merupakan sebahagian daripada Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak selama empat hari di Daerah Kerian yang bermula pada Selasa lalu hingga Jumaat ini.