PARIT BUNTAR – Kira-kira 800 umat Islam menyertai majlis qiamullail bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Masjid Parit Tok Ngah, Mukin Bagan Tiang, dekat sini pada awal pagi Jumaat.

Hadir sama beberapa exco kerajaan negeri dan para pelajar Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan Al – Falah, Parit Tok Ngah.

Majlis itu diadakan sempena Program Pemukiman YAB Menteri Besar di Daerah Kerian yang bermula Selasa lalu hingga Jumaat.

Majlis bermula kira-kira jam 3.30 pagi dengan hadirin berzikir beramai-ramai, diikuti dengan solat taubat, tahajud, hajat dan diakhiri dengan solat Subuh.

Sebaik selesai solat Subuh, Dr Zambry menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) kepada lebih 200 pelajar Sek Men Agama Bantuan Kerajaan Al – Falah.

Selesai majlis, Menteri Besar beramah mesra dengan para jemaah, diikuti dengan bersarapan bersama-sama penduduk tempatan di pekarangan masjid.