PARIT BUNTAR: Kira-kira 8,000 warga Parit Buntar dari pelbagai kaum menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017 anjura UMNO Bahagian Parit Buntar di pekarangan Dewan Kerian Permai di sini pada Ahad.

Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali berkata, sambutan sangat menggalakkan apabila baru setengah jam bermula, kira-kira 3,000 orang telah hadir.

Majlis itu diadakan antara jam 12 tengahari hingga 3 petang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO bahagian, Abdullah Salleh serta kepimpinan sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Abu Bakar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan majlis itu dengan membuat persiapan sejak dari Sabtu lagi.

“Terima kasih juga kepada pihak keselamatan seperti polis, Rela dan APM serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang sudi membantu dan hadir sama memeriahkan majlis,” katanya kepada pemberita pada majlis tersebut.

Menurut beliau, kehadiran luar biasa itu juga membuktikan sokongan rakyat pelbagai kaum di Parit Buntar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin bertambah, sekaligus mencerahkan peluang untuk merampas semula Parlimen Parit Buntar dan dua Dewan Undangan Negeri Titi Serong dan Kuala Kurau.

IMG-20170723-WA0007

Selain menikmati pelbagai hidangan, hadirin turut dihiburkan oleh persembahan nyanyian daripada artis jemputan.