IPOH: Lebih 80,000 penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, di sini bagi menghormati hari lahir Dewa Murugan bersempena sambutan hari Thaipusam pada Khamis.

Pelancong serta penduduk sekitar yang berlainan agama dan bangsa juga tidak melepaskan peluang datang memeriahkan sambutan unik tersebut sehingga sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer kerana kekurangan tempat parkir.

Tinjauan Suara Perak di kuil berkenaan mendapati ada sesetengah penganut telah mula berkampung di Gunung Cheroh sejak semalam bagi menjalankan pelbagai upacara.

Antara upacara yang dilakukan oleh penganut yang hadir ialah mencukur kepala, membawa belanga susu dan “kavadi” yang dihias dengan pelbagai cara serta warna.

Sesetengah penganut agama Hindu yang berarak membawa “kavadi” dan belanga susu, mengikut kepercayaan mereka untuk membayar nazar dan menebus dosa.

Sambutan itu juga telah berjalan dengan aman serta terkawal dengan kehadiran ratusan pegawai dan anggota polis di sekitar kuil berkenaan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, SAC T. Selvan berkata, pihaknya juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan memberi perkhidmatan bas ulang alik secara percuma daripada Stadium Indra Mulia, Ipoh ke kuil berkenaan.


“Untuk mengurangkan kesesakan, kita telah menerima sumbangan Perak Transit Berhad yang menyediakan bas ulang alik setiap 20 minit.

“Setakat ini keadaan amat aman dan terkawal, jadi saya beri jaminan kepada orang ramai jangan takut untuk keluar sembayang kerana kita akan pastikan keselamatan mereka terjaga,” ujar beliau ketika ditemui di kuil berkenaan.

Sebelum itu lebih 100 anggota polis beragama Hindu turut melakukan upacara sembahyang di kuil berkenaan sebelum meneruskan tugasan.