PADANG TERAP: Pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) mematahkan cubaan menyeludup 810 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM76,950 ke negara jiran berhampiran Pos Sahara, Durian Burung, di sini, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Abdul Azizi Ismail, berkata rampasan itu dijalankan oleh Mejar Md Khoiri Ahmad bersama tiga anggota pada jam 10 malam, ketika melakukan rondaan di kawasan sempadan.

“Ketika rondaan itu, anggota terbabit melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero datang dari arah bertentangan menuju ke sempadan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila pasukan itu cuba menghampiri bagi tujuan pemeriksaan, pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri ke arah semak berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Azizi berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 70 bungkus daun ketum di dalam plastik hitam yang masing-masing seberat 12kg ditemui disumbat ke dalam kereta itu.

Katanya, permintaan yang tinggi selain harganya lebih mahal di negara jiran menyebabkan aktiviti penyeludupan itu semakin berleluasa.

“Bagaimanapun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited dalam melaksanakan tugas bagi bersama-sama mengawal aktiviti penyeludupan di sempadan.

“Bungkusan ketum itu termasuk kenderaan terbabit dirampas dan diserahkan kepada polis di Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut,” katanya – berita harian