IPOH : Sebanyak 82 peratus orang kena pengawasan (OKP) berkaitan dadah di Perak berjaya memperolehi pekerjaan melalui Program Hijrah yang diperkenalkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ia sekaligus membantu proses pemulihan mereka dan seterusnya mengurangkan kadar penagihan berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga November 2019, terdapat 4,161 OKP di Perak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 3,421 orang atau 82 peratus telah berjaya memperolehi pekerjaan, sekaligus melebihi sasaran 70 peratus pencapaian yang ditetapkan.

“Melalui Program Hijrah yang dianjurkan oleh AADK membantu OKP, memberi peluang kedua kepada mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dengan menyediakan peluang pekerjaan sebelum mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

“82 peratus OKP yang berjaya memperolehi pekerjaan adalah satu kejayaan yang amat tinggi yang telah diusahakan oleh pihak AADK,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tindakan membenteras dadah peringkat negeri Perak di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Setakat ini terdapat sekurang-kurangnya sembilan buah syarikat di Perak yang menawarkan peluang pekerjaan kepada okp.

Ahmad Faizal berharap lebih banyak syarikat tampil mewujudkan peluang pekerjaan kepada okp, lebih-lebih lagi dengan pemberian insentif cukai sehingga RM4,000 kepada syarikat yang mengambil bekas penagih dadah bekerja.