IPOH: Seramai 829 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Perak menerima watikah pelantikan mereka hari ini.

Sehubungan itu, mereka akan menerima elaun bulanan sebanyak RM700, iaitu RM500 daripada kerajaan Persekutuan dan RM200 daripada kerajaan negeri, berkuatkuasa Oktober lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ditemui selepas majlis penyerahan itu berkata, oleh kerana kebanyakan mereka telah memulakan tugas sejak Ogos, pihaknya bersetuju membayar elaun sumbangan kerajaan negeri bermula Ogos.

“Kita menyedari bahawa kebanyakan mereka bukanlah mempunyai sumber kewangan yang banyak, jadi kita bersetuju elaun sumbangan kerajaan negeri dibayar mulai Ogos,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di kediaman rasmi lama Menteri Besar di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan negeri, Asmuni Awi dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO negeri, Hasnul Zakaria Abdul Munaim.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyerahkan geran tahunan RM5,000 untuk pengurusan setiap MPKK yang diterima 12 pegawai daerah yang mewakili MPKK di daerah masing-masing.

Geran tahunan itu diberikan dua kali setahun yang akan diselaraskan oleh pejabat-pejabat daerah.

Ahmad Faizal di dalam ucapannya berkata, setiap MPKK akan mempunyai 11 biro, melibatkan 9,119 orang yang akan menjadi kekuatan akar umbi kerajaan negeri.

Menurut beliau, Pengerusi MPKK merupakan pegawai perhubungan antara kerajaan dengan rakyat yang menjadi mata dan telinga kepimpinan negeri untuk merasai denyutan nadi rakyat.

Beliau menambah, mereka merupakan barisan hadapan bagi kerajaan negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dari kepimpinan yang tertinggi kepada rakyat.

Menurut beliau, tanggungjawab dan peranan mereka juga perlu berubah kepada pemimpin masyarakat, tidak lagi ketua masyarakat.

“Kini adalah masa kita bekerja untuk rakyat dan menjalankan amanah rakyat sewaktu PRU14 yang lalu. Kini bukan lagi masa untuk melayan polemik politik tetapi masa untuk kita semua bekerja.

“Penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dalam tadbir urus pada kali ini perlu melihat secara lebih terbuka. Jangan memandang darjat dan kelebihan tetapi melihat apa yang diperlukan oleh rakyat.

“Begitu juga dengan amalan integriti yang baik dan kepimpinan yang berhemah di kalangan MPKK untuk menjadi identiti baru yang terbaik,” ujarnya.

Beliau menambah, sikap itu akan dapat memberikan gambaran kepada masyarakat dari akar umbi secara keseluruhan bahawa MPKK mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi dan boleh dijadikan teladan.