BAGAN SERAI: Penantian 84 peneroka Rancangan Tanah Berkelompok(RTB) Batu 38/40 Jalan Keretapi, di sini bagi mendapatkan geran tanah berkeluasan 261.9 ekar sejak lebih 15 tahun lalu akhirnya mencapai noktah gembira.

Selain itu, terdapat 193 pemilik lot kediaman dan 24 pemilik lot perniagaan di kawasan Penempatan Semula Kampung Tersusun (PSKT) Kuala Gula menerima tawaran geran hak milik kekal daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka RTB Batu 38/40, Ahmad Noor Arop,59, berkata, kejayaan itu dicapai hasil inisiatif wakil rakyat BN mengadakan siri perbincangan insentif dengan kerajaan negeri bagi memastikan hak peneroka terbela.

Menurutnya, kawasan tanah berkenaan asalnya milik kerajaan negeri sebelum diterokai kumpulan penduduk yang menjadi peneroka asal lebih 15 tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad menegaskan sekitar tahun 2008, tanah kerajaan itu bertukar menjadi hak milik anak syarikat kerajaan negeri, Harta Perak Corporation tanpa pengetahuan peneroka terbabit.

“Tindakan syarikat itu menceroboh tanah diterokai penduduk kampung kemudiannya menimbulkan kemarahan kami yang sudah mengusahakan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit di tanah itu.

“Kami kemudiannya mengadukan permasalahan itu kepada beberapa wakil rakyat BN seperti (calon BN DUN Alor Pongsu) Datuk Sham Mat Sahat dan meminta bantuan supaya hak pemilikan tanah itu dikembalikan kepada kami,”katanya kepada media selepas majlis penyerahan geran RTB Batu 38/40, Jalan Keretapi kepada 84 peneroka asal di Dewan Komuniti, di sini hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut dihadiri Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri dan kesemua calon BN semua kerusi di Parlimen Bagan Serai.

Ahmad berkata, prihatin dengan nasib pihaknya, inisiatif membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri berjaya dibawa Sham dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Kerian.

Menurutnya,syarikat Harta Perak Corporation kemudiannya digesa mengembalikan hak milik tanah itu kepada kerajaan negeri dan dipersetujui syarikat berkenaan dengan syarat digantikan dengan keluasan tanah sama tempat lain.

“Atas bantuan Menteri Besar Perak, syarikat berkenaan bersetuju mengembalikan tanah berkenaan kepada kerajaan negeri mengikut syarat ditetapkan.

“Sebaik diserahkan kembali kepada kerajaan negeri, saya bersama kesemua 158 peneroka mengemukakan permohonan RTB seperti biasa dan syukur ianya diluluskan pada tahun 2013,”katanya.

Sementara itu, Mohd Sabli memaklumkan, PDT Kerian mempunyai masalah untuk mengeluarkan geran tanah lebih awal meskipun permohonan peneroka diluluskan sebelum PRU13.

Menurutnya, perkara itu disebabkan keseluruhan kawasan diluluskan itu perlu selesai diwartakan sebagai tanah simpanan melayu terlebih dahulu.

“Akhirnya, baru-baru ini proses perwartaan tanah terbabit sebagai tanah simpanan melayu berjaya diselesaikan dan hari ini(semalam) kita berjaya menyerahkan geran tanah kepada kesemua peneroka terlibat.

“Kejayaan penyelesaian permohonan RTB Batu 38/40 dan memberi impak besar terhadap kehidupan penerima geran.

“Kebanyakan penerima geran tanah merupakan penduduk asal kampung berpendapatan rendah yang menjalankan kegiatan pertanian untuk menyara kehidupan. Justeru, keputusan ini pastinya membantu memajukan kehidupan mereka pada masa hadapan,”katanya.

Mohd Sabli bagaimanapun menegaskan lebihan 44 hakmilik belum boleh diberikan kerana beberapa perkara antara juruukur dan peserta masih lagi belum selesai.

Mengenai tawaran hak milik kekal PSKT Kuala Gula, seorang penduduk, Lim Ah Naye,67, bersyukur permohonan dibuat sejak 17 tahun lalu akhirnya diselesaikan kerajaan negeri.

Menurutnya, permohonan dikemukakan keseluruhan 193 pemilik lot kediaman dan 24 lot perniagaan adalah sebagai jalan keluar bagi mengatasi masalah perumahan yang semakin mendesak di Kuala Gula.