PARIT 27 Dis. – Komitmen polis Daerah Perak Tengah dalam memerangi kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi antara fokus utamanya berhasil apabla berjaya memberkas 857 pesalah dadah sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua tangkapan tersebut berjaya menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM165,023.05.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 23 orang disiasat atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala bagi Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A (1) akta yang sama masing-masing merekodkan 28 dan 100 tangkapan.

“Bagi Seksyen 12(2) ADB 1952 seramai 370 orang ditangkap manakala Seksyen 6 ADB 1952 pula melibatkan 24 tangkapan selain 276 orang mengikut Seksyen15(1)(a) ADB 1952 dan 36 orang lagi di bawah Akta Racun 1952.

“Selain itu, seramai 54 orang penagih yang ditangkap melakukan kesalahan kali ketiga telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang memperuntukkan penjara lima hingga tujuh tahun serta sebatan manakala enam orang telah ditahan di bawah Langkah-Langkap Pencegahan Khas 1985,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Perak Tengah di Ibu pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi tahun ini juga, indeks jenayah di Daerah Perak Tengah menurun sebanyak 36 peratus iaitu 87 kes dilaporkan pada tahun ini berbanding 136 kes pada tahun lalu.

Katanya, ia juga menyaksikan penurunan sebanyak 68 peratus dalam tempoh dua tahun yang bersamaan dengan pengurangan 120 kes berbanding 207 kes pada tahun 2016.

“Sepanjang tahun 2018, jenayah harta benda menunjukkan penurunan paling ketara iaitu sebanyak 36 kes manakala jenayah kekerasan turun sebanyak 13 kes.

“Ini membuktikan pendekatan yang agresif bagi membanteras kes-kes jenayah khususnya kecurian motosikal dan pecah rumah berjaya dilakukan dengan baik apabila kes tersebut menurun secara mendadak sejak kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE