SERDANG: Sembilan individu yang ditahan berhubung kes kecurian mesin Bitcoin bernilai lebih RM1 juta di daerah ini, disambung reman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata tempoh reman disambung bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut, termasuk memburu individu lain disyaki turut terbabit kes itu.

“Siasatan lanjut terhadap kes kecurian Bitcoin dilaporkan di sekitar daerah ini, masih berjalan.

“Bagaimanapun, belum ada tangkapan baharu ke atas mana-mana individu disyaki terbabit kes kecurian itu,” katanya.

Media semalam melaporkan semua individu berkenaan ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak bermula 23 Februari lalu hingga kelmarin.

Mereka terdiri daripada warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun membabitkan penjual (dipercayai yang mencuri), orang tengah dan pembeli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 357, Seksyen 457 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta memiliki barang curi – berita harian