SUASANA luar stadium Shah Alam hari ini kecoh apabila sekumpulan peminat merempuh kaunter jualan tiket untuk aksi final bola sepak Sukan SEA KL2017 antara Malaysia dan Thailand, malam esok.

Kekecohan timbul apabila penyokong Malaysia beratur sepanjang lima kilometer sejak awal pagi untuk membeli tiket tetapi kaunter ditutup jam 1 tengah hari.

Malah suasana menjadi tegang apabila segelintir orang awam ‘menjerit’ malah beberapa meja urusetia turut diterbalikkan disebabkan penutupan kaunter terbabit.

Seorang penyokong dari Taiping, Muhammad Ridzuan Mohammad, 27, hampa kerana kaunter tiket jualan ditutup sebaik gilirannya tiba.

“Saya datang sejak awal pagi dari Taiping kerana tidak mahu terlepas mendapatkan tiket perlawanan itu. Sudah elok beratur tiba-tiba kaunter tutup.

“Sepatutnya ada khidmat jualan tiket secara dalam talian (online). Kami datang dari jauh dengar tiket habis hari ini. Kasihan kepada wanita, warga emas dan kanak-kanak sudah beratur daripada awal lagi,” katanya.

Dia berkata memang ada berlaku kekecohan seketika kerana segelintir pembeli merempuh kaunter jualan tiket namun jika dikawal selia lebih baik perkara itu tidak akan berlaku.

Seorang peminat bola sepak negara, Muhammad Saiful Amin Nizam, 28, berkata dia datang 8 pagi semata-mata untuk membeli tiket menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Sudah beratur selama sembilan jam takkan kita nak balik. Saya akan tunggu untuk mendapatkan tiket berikutan bukan selalu dapat menyaksikan perlawanan penuh bermakna seperti ini.

“Kami semua mahu beri sokongan 100 peratus kepada Malaysia. Jika perlu tidur di sini malam ini untuk dapatkan tiket saya akan tetap tunggu,” katanya kepada Harian Metro.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata para penyokong dinasihati agar mengikut arahan yang sudah ditetapkan.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan atau cuba menimbulkan kekecohan,” katanya.

-myMetro