BENTONG: Seorang wanita warga emas dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung manakala seorang lagi cedera dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah di Kampung Baru Cina Repas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Long Sing Kiew, 78, dan Chong Wei, 23, ditemui rentung dalam kediaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.22 pagi tadi.

“Seramai 40 pegawai dan anggota bomba bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan BBP Karak termasuk anggota sukarela Perting dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak dan merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah di kawasan itu terlalu rapat dan padat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sani berkata, mangsa pertama iaitu wanita warga emas terbabit ditemui pada jam 2.13 pagi, manakala lelaki OKU berkenaan ditemui pada jam 2.46 pagi.

“Kedua-dua mangsa didapati terperangkap di dalam kediaman masing-masing sebelum ditemui dalam keadaan rentung.

“Seorang lagi mangsa, Chong Theen Sung berusia 56 tahun pula dilaporkan cedera sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran itu menyebabkan empat daripada sembilan rumah yang terbabit musnah sepenuhnya. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya – berita harian