IPOH – Program Hari Tanpa Kereta anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diteruskan lagi hari ini dengan penyertaan lebih 9,000 warga bandar raya ini.

Program yang masuk kali ke-34 diadakan di Jalan Raja Di Hilir di sini dikunjungi pengunjung seawal pukul 7 pagi yang mahu turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.

Program itu turut menarik minat pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Puspa­nita Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan negeri, Hospital KPJ, Perpustakaan negeri dan Perpustakaan Tun Razak.

Antara acara yang disediakan seperti senamrobik, kayuhan Better City Better Life, klinik badminton dan permainan Human Table Football.

Selain itu, turut diadakan pemeriksaan kesihatan, pame­ran kereta perisai dan bomba, penyewaan basikal tandem dan promosi Bike Sharing System oleh Cycledios, kempen menjaga alam sekitar dan kitar se­mula, Cycle Kids dan Petting Zoo.

Beberapa pihak mengambil bahagian iaitu McDonalds, 100 Plus, Nestle dan Power Root selain Hotel Seri Malaysia yang menaja dan memberikan makanan dan minuman percuma kepada pengunjung yang hadir.

Pengarah Perancang Bandar Raya, Zulqarnain Mohamad ber­kata, program tersebut selain diadakan untuk mencapai objektif ke arah sebuah bandar sukan Ipoh, bandar rendah karbon dan meningkatkan indeks kebahagiaan, ia juga dapat memupuk kesedaran alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh dalam kala­ngan penduduk.

“Ia juga merupakan agenda perbandaran baharu bagi mempercepatkan pencapaian Sustainable Development Goals.

“Selain itu, kita turut meraikan tema utama Hari Tanpa Kereta bulan ini iaitu Hari Bandaraya Sedunia dengan slogan Better City Better Life,” katanya – berita harian