IPOH: Kira-kira 9,000 warga bandaraya Ipoh yang terdiri pelbagai kaum mengambil bahagian dalam ‘Ipoh Car Free Day’ yang berlangsung di Jalan Raja DiHilir pada Ahad.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Datuk Seri Azizul Hasani, Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria, Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan.

Program yang bermula sejak jam 7 hingga 10 pagi
itu merupakan kali ke 39 dan paling meriah sejak ia diadakan pada Oktober 2015.

Tema utama adalah Hari Wanita Sedunia – ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2019.

Tema itu dipilih bagi meraikan wanita-wanita di seluruh dunia yang menjadi tunggak dalam pembentukan keluarga yang penyayang serta menjadi pemangkin terhadap kemajuan negara.

Ipoh CFD juga menjayakan Hari Wanita Sedunia dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian bagi memartabatkan wanita dan mengenang jasa wanita dalam pembangunan bandaraya ini.

Mohd Zakuan berkata, selain untuk mencapai objektif kearah sebuah Bandar Sukan Ipoh, Bandar Rendah Karbon serta meningkatkan Indeks Kebahagian di kalangan wargakota dengan memupuk kesedaran alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh, program itu juga merupakan Agenda Perbandaran Baru bagi mempercepatkan pencapaian
‘Sustainable Development Goals’.

Program itu telah menarik minat para pengunjung untuk bersama-sama menyertai acara yang telah disediakan oleh pelbagai pihak termasuklah PADUAN, PUSPANITA, BOMBA, PDRM, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, KPJ, MICA, Persatuan Daybreak, Ipoh City Watch, Perpustakaan Tun Razak dan Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak.

Antara acara yang disediakan seperti kayuhan wanita Jom Sihat, senamrobik, ceramah Srikandi Dambaan Dunia & Syurga, kuiz, demo masakan dan seni mempertahankan diri serta klinik bergerak.