TAPAH – Tidak sampai dua bulan beroperasi, sebuah premis di sini terpaksa berputih mata apabila sebanyak 97 tong gas petroleum cecair LPG bernilai RM17,264.20 disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak dalam satu serbuan pada Selasa.

Serbuan jam 8 pagi itu dilakukan sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Perak yang terdiri daripada tujuh orang anggota bersama Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tapah telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang menjalankan aktiviti jualan barang kawalan Gas Petroleum Cecair (LPG) di sekitar Tapah, Perak.

Ketua Cawangan KPDNHEP TapahMohd Ziyad Ismail berkata, pemerhatian dan risikan selama dua minggu mendapati pemilik perniagaan ini telah menjadikan bahu jalan kawasan perumahan sebagai tempat meletak lori yang membawa muatan barang kawalan LPG untuk edaran kawasan sekitar daerah Batang Padang, Perak.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, seorang lelaki berumur lingkungan 22 tahun telah ditemui dan mengaku sebagai pemilik motolori tersebut.

“Siasatan mendapati, individu tersebut mempunyai lesen runcit LPG yang sah dan mempunyai stor yang sah di kawasan berhampiran; ii. Namun demikian, individu tersebut menjadikan lori tersebut sebagai stor simpanan dan diletakkan di bahu jalan kawasan perumahan tersebut dan bukan disimpan di stor simpanan LPG yang mempunyai lessen atau kebenaran yang sah daripada KPDNHEP.

“Lelaki tersebut juga mengakui menjadikan bahu jalan kawasan perumahan tersebut sebagai tempat meletakkan kenderaan motolori berkenaan memandangkan stor simpanan yang sah telah ditamatkan sewaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.

Beliau berkata, pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita sebanyak 97 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 1,318kg di lokasi berkenaan.

“Siasatan kita mendapati, premis ini telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan dari premis yang dilesenkan kepada premis yang tidak dilesenkan,” kata beliau.

Beliau berkata, bermula Januari tahun lalu hingga 5 Julai 2018, sebanyak 15 kes kesalahan melibatkan barang kawalan LPG direkodkan dengan nilai rampasan lebih RM337,000.

“LPG merupakan barang kawalan berjadual dan dikawal selia oleh kementerian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Peniaga borong atau runcit LPG juga dinasihatkan supaya menyimpan barang kawalan LPG ditempat yang dinyatakan di dalam lessen sahaja kerana tempat tersebut telah dinilai aspek keselamatan dan diberikan kebenaran oleh pihak bomba agar keselamatan lebih terjamin kepada penduduk sekitar.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan kesalahan ini untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini dan mengelak berlakunya ketirisan subsidi kerajaan,” katanya.