KUALA LUMPUR: “Saya yakin dia akan menyerah diri kepada polis hari ini atau esok,” kata adik suspek lelaki yang juga bapa tiri Muhammad Khairil Akmal, kanak-kanak yang maut kelmarin, dipercayai akibat didera.

Khairul Mustaffa Khairuddin, 30, berkata dia ‘cukup’ kenal dengan sikap abangnya yang memerlukan masa untuk berfikir dan membuat keputusan dengan waras.

“Jangan risau, abang tidak akan lari jauh, cukup masa nanti dia akan pulang dan serah diri kepada pihak berkuasa.

“Saya juga sedang giat mengesan lokasi abang, walaupun menyedari nyawa terancam dan ibarat meletakkan sebelah kaki di dalam kubur, ia perlu dilakukan demi keadilan anak saudara dan keluarga.

“Pada masa sama, ada ahli keluarga dan rakan yang mesej tidak boleh terima apa yang berlaku.

“Serabut memikirkan perkara itu, sudah banyak hari saya tidak dapat melelapkan mata, harapannya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Khairul Mustaffa berkata jenazah anak saudaranya tirinya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari, Cheras, kira-kira jam 5 petang, semalam.

“Pada awalnya, proses pengebumian dirancang dibuat di Taman Teratai.

“Namun tanah perkuburan itu disediakan untuk orang kenamaan sahaja, jadi saya ambil keputusan untuk membawa jenazah anak saudara ke Cheras,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Khairil yang berusia tiga tahun itu maut ketika dirawat di Hospital Ampang dipercayai akibat didera.

Ibu kandung dan bapa tiri mangsa melarikan diri sejurus menghantarnya ke hospital itu.

Sehubungan itu, polis meminta ibu kandung mangsa iaitu Noraini Samian, 20, dan bapa tirinya, Khairul Izaini Khairuddin, 31, untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan – berita harian