HULU SELANGOR: “Abang bomba jangan potong kaki saya!”

Itu jeritan seorang kanak-kanak lelaki lapan tahun yang cemas ketika anggota bomba mengeluarkan peralatan khas untuk memecahkan simen longkang bagi membebaskan kakinya yang terperangkap, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Fairuz Ibrahim, terpaksa menahan sakit kira-kira sejam selepas sebahagian kaki kirinya tersepit dalam lubang aliran air pada longkang kecil berhampiran kediaman jirannya di Lot 22 Kampung Pasir, Ulu Yam Baru di sini.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 5.49 petang, menghantar dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu ke lokasi.

Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosdi Shafie, mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut separas buku lali pada saluran Polyvinyl Chloride (PVC) itu.

“Mangsa cemas bila kita keluarkan peralatan untuk memecahkan longkang, dia ingat anggota bomba nak memotong kakinya.

“Namun kita dan ahli keluarganya minta dia bertenang termasuk mengalih perhatiannya dengan menyuruhnya membaca doa-doa tetapi tak sangka dia turut membaca doa sebelum makan.

“Memang sedikit melucukan namun cara itu berjaya menenangkan dia dan memudahkan kita melakukan tugas untuk mengeluarkan kakinya yang terperangkap,” kata Rosdi ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Difahamkan, Muhammad Fairuz sedang bermain sebelum tergelincir dan kakinya termasuk ke dalam saluran PVC pada longkang itu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, memaklumkan anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk memecahkan longkang berkenaan bagi mengeluarkan kaki mangsa.

“Sebaik kakinya berjaya dikeluarkan, anggota EMRS kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kaki kanak-kanak terbabit.

“Mangsa disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dengan sedikit lebam dan calar sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini – berita harian