KUCHING: Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-6 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri di Petra Jaya di sini hari ini.

Pelantikan Abang Johari yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu adalah susulan pemergian Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah pada Rabu (11 Januari).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini sebulat suara memilih Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Upacara itu turut disaksikan isteri beliau Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang, anggota-anggota Kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri dan kakitangan kanan awam.

Sementara itu dalam reaksinya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menerusi catatan di laman Twitter mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Abang Johari.

“Abang Johari mampu bawa Sarawak terus maju dan kekal makmur,” menurut beliau lagi.

Abang Johari merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan,selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Beliau telah berkecimpung dalam politik lebih daripada 30 tahun. Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Satok selama sembilan penggal.

Abang Johari yang berkelulusan ijazah pentadbiran perniagaan dari Universiti Brunel United Kingdom, pertama kali bertanding bagi kerusi itu, pada 1981.

Beliau mempunyai 10 orang adik beradik daripada keluarga ternama Sarawak yang mempunyai sejarah panjang di negeri itu.

Allahyarham bapanya Tun Abang Haji Openg merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Britain dan selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Adenan yang memegang jawatan Ketua Menteri selama hampir tiga tahun, meninggal dunia Rabu lepas kerana komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Umum Kota Samarahan.