PORT DICKSON: Abang kandung Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, mangsa dera berusia sembilan tahun yang meninggal dunia minggu lalu, akan bertukar dari Sekolah Kebangsaan Lukut (SKL) di sini, ke Kuantan.

Ibu kandung kanak-kanak berusia 11 tahun itu, dilihat hadir ke SKL di sini, semalam bersama seorang lelaki bagi menguruskan proses pertukaran sekolah anaknya itu yang sebelum ini berada di bawah jagaan bekas suami.

Wanita berkenaan yang kelihatan masih sedih dengan kejadian menimpa anaknya, enggan bertemu media yang mahu bertanya lebih lanjut mengenai kehadirannya di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, sumber memberitahu wartawan NSTP, mereka tiba ke SKL pada jam 12.30 tengah hari dan selesai bertemu guru serta kakitangan sekolah kira-kira sejam kemudian.

“Murid Tahun Lima itu sempat bertemu rakan sekelasnya untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum beredar bersama ibu dan seorang lelaki menaiki sebuah kereta berwarna putih,” katanya di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia pada 31 Januari lalu, akibat didera dan laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Berikutan itu, suspek utama kes itu iaitu bapa kandungnya yang berusia 35 tahun dan ibu tiri berusia 34 ditahan reman tujuh hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis.-berita harian