Tumpat: Seorang pemuda dari Kampung Tujoh, di sini, sanggup berkorban termasuk menangguhkan hasrat berumah tangga demi menyara tujuh adiknya yang menjadi yatim piatu sejak sembilan tahun lalu.

Ahmad Zaidi Ramli, 33, bukan bukan sahaja berperanan sebagai abang sulung, tapi juga dianggap ibu dan bapa kepada tujuh adiknya sejak kematian ibu mereka, Napisah Mat Ali, pada 2007 akibat asma disusuli pemergian bapa, Ramli Abdul Rahman dua tahun selepas itu kerana kencing manis.

Menyentuh mengenai keinginan untuk mendirikan rumah tangga seperti orang lain, Ahmad Zaidi tidak menafikan perkara itu ada terlintas namun mengenangkan tanggungjawabnya yang masih diperlukan keluarga, hasrat itu terus dipendamkan.

Menurutnya, beberapa tahun lalu dia hampir melangsungkan perkahwinan namun disebabkan tidak sanggup meninggalkan keluarga terutama adik yang masih kecil ketika itu, perancangan itu akhirnya terkubur.

Bekerja sebagai tukang rumah dengan kadar upah sebanyak RM60 sehari, Ahmad Zaidi berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu dia membesarkan semua adiknya sehingga semua mampu menghabiskan persekolahan.

“Tiga adik saya kini mencari rezeki di luar Kelantan sebagai buruh dan pembantu kedai makan manakala empat lagi tinggal bersama saya di kampung termasuk dua yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Geting, di Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima.

“Mujur juga ada adik yang bekerja sebagai pembantu kiosk dengan gaji RM20 sehari membantu dengan perbelanjaan harian kami ketika saya tiada projek,” katanya ketika ditemui.

Ahmad Zaidi berkata, tiga adiknya yang bekerja di luar Kuala Lumpur ada menghantar wang untuk mereka berlima di kampung apabila diminta seperti ketika ada keperluan mendadak.

“Bukannya saya tidak mahu mencari kerja tetap yang lain tapi saya tidak boleh bekerja mengikut waktu pejabat kerana terikat dengan menghantar dan menjemput adik dari sekolah kerana jarak antara sekolah dan rumah hampir dua kilometer,” katanya.

Keluarga itu menerima kunjungan dari aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman yang menyampaikan barangan keperluan harian kepada mereka.

Faizah juga berjanji untuk mencari penyumbang bagi membaik pulih rumah yang didiami Ahmad Zaidi dan empat adiknya yang tidak sempurna pembinaannya – berita harian