PARIT BUNTAR 16 Feb. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta memohon maaf dan menarik balik artikel bertajuk ‘ijazahnya ada, akalnya kerdil’ yang diterbitkan Harakahdaily, kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, laporan di dalam artikel itu yang merujuk kenyataan seorang menteri yang didakwa beliau merujuk dirinya dan mengatakan Nabi Muhammad S.A.W. juga tidak memiliki ijazah adalah tidak benar.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu dan kesal apabila Abdul Hadi menulis artikel berkenaan meskipun hanya secara kiasan.

“(Permohonan maaf dan menarik balik artikel) adalah berpandukan kepada kenyataan palsu yang tular kononnya saya kata rasulullah tidak masuk universiti, tiada ijazah sedangkan saya tidak kata pun.

“Tetapi apa yang saya tidak kata itu yang Abdul Hadi buat artikel bertajuk ada ijazah, akal kerdil dan jelas menunjukkan secara innuendo (kiasan) seorang menteri. Pastinya itu sayalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Kali Ke-14 Cawangan Daerah Kerian di Dewan Seri Kerian di sini hari ini.

Menurut Mujahid, beliau difahamkan surat permohonan maaf dan menarik balik artikel tersebut sudah disiapkan namun tidak pasti sama ada surat berkenaan telah dihantar atau tidak kepada pemimpin pas tersebut.

Katanya, tindakan terhadap Abdul Hadi itu diambil kerana artikel berkenaan telah menjejaskan imej beliau selain menyebarkan berita palsu.

“Saya telah mengeluarkan surat supaya tarik balik dan memohon maaf sebab tidak mungkin seseorang buat artikel sedangkan orang itu tidak kata pun, kalau saya kata lain cerita.

“Beliau telah menjejaskan imej saya dan sebarkan kepalsuan jadi saya tengok tindakan mereka macam mana,” katanya. – UTUSAN ONLINE