Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan kenyataan yang Perdana Menteri Dr Mahathir yang mendakwa sekolah kebangsaan bertukar menjadi sekolah agama hanya akan mencetuskan kekeliruan.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ia juga akan menutup ruang penyelesaian kepada masalah sebenar.

“Abim tidak menafikan keperluan kajian semula kurikulum yang mana perlu mengambil kira perubahan di peringkat global seperti penguasaan kemahiran tertentu dalam menghadapi Revolusi Perindustrian keempat.

“Bagaimanapun, kenyataan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan telah bertukar menjadi sekolah agama hanya akan mencetuskan kekeliruan yang boleh menutup ruang kepada sebarang penyelesaian di atas sebarang persoalan berkaitan yang diketengahkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Raimi merujuk kenyataan Mahathir yang memaklumkan mahu merombak kurikulum sekolah kebangsaan agar tidak bertumpu kepada pembelajaran agama semata-mata.

Mahathir sebelum ini juga dilapor berkata, rancangan untuk memperbaharui silibus pengajaran adalah bagi memastikan pelajar menguasai semua mata pelajaran “berguna” yang dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Sementara itu, Mohamad Raimi menegaskan bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam (PI) bagi murid beragama Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan beragama Islam adalah salah satu mata pelajaran teras yang wajib diikuti oleh semua murid selain mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, seperti yang digariskan dalam Akta Pendidikan 1996.

“Masa yang digunakan untuk PI hanyalah 96 jam setahun daripada 752 jam keseluruhan mata pelajaran, iaitu kurang daripada 13 peratus setahun.

“Murid sekolah kebangsaan (SK) menggunakan 160 jam setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris (BI), iaitu 22 peratus daripada keseluruhan mata pelajaran, manakala murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) menggunakan 80 jam setahun, iaitu 11 peratus daripada keseluruhan mata pelajaran,” katanya.

Tambah Mohamad Raimi lagi, pihaknya berpandangan bahawa penerapan nilai dan kemahiran yang dapat membantu pelajar mendapatkan pekerjaan seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal dan kemahiran mengurus emosi serta bersosial perlulah selari dengan pendidikan Islam yang sifatnya universal.

“Untuk merungkai persoalan mengenai dinamika pendidikan Islam di negara ini, Abim ingin merujuk kepada pandangan Prof Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah 1440H peringkat kebangsaan, yang mencadangkan agar Pendidikan Islam di Malaysia dikaji semula agar dilihat sesuai dengan pengamalan Islam dalam kerangka masyarakat Malaysia yang bersifat realiti kemajmukan dengan kepelbagaian kaum dan agama, seperti penyepaduan Fiqh Wataniah, Fiqh Taayush, menambah interaksi dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama, dan sepertinya.

“Asas kajian semula kurikulum dan dasar pendidikan secara keseluruhan perlu melihat kepentingan dalam pendidikan membentuk watak bangsa Malaysia,” katanya – malaysia kini