Oleh: Nazialita Geynna Maharan

 IPOH: Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berupaya menjadi pemacu kepada perkembangan ekonomi mampan di Malaysia sejajar dengan potensinya sebagai organisasi yang mewakili semua pertubuhan perniagaan yang dipelopori kaum Cina di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ACCCIM juga merupakan sebuah organisasi berpengalaman luas yang bertanggungjawabkan menguruskan pengusaha dan pelabur asing yang mendatangkan manfaat kepada status ekonomi Malaysia.

Katanya, ACCCIM sering menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan untuk menarik pelabur asing khususnya dari pertubuhan perniagaan Cina dari seluruh dunia dalam mewujudkan peluang usahasama serta menaikkan potensi pasaran Malaysia di peringkat global.

“Sejak penubuhannya, ACCCIM telah menganjurkan pelbagai pertemuan perniagaan dan ekonomi, sesi padanan niaga, pameran antarabangsa, menerima kunjungan wakil atau duta dari negara lain selain aktif mempromosikan kebolehpasaran Malaysia di mata dunia.

“Sebagai salah satu pertubuhan kaum Cina terawal di Malaysia, ACCCIM telah memberikan pelbagai sumbangan kepada pembentukan bangsa, menggalakkan percambahan nilai komersial serta industri dan sentiasa memainkan perana penting dalam perkembangan ekonomi negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM ke-71 di Weil Hotel di sini, hari ini.

IMG-20170728-WA0004

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang hadir mewakili Perdana Menteri merasmikan mesyuarat tersebut.

Turut hadir, Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap dan Presiden PCCCI Perak, Datuk Liew Sew Yee.

Menurut Najib, kerajaan sentiasa mengiktiraf ACCCIM sebagai rakan yang sentiasa memberikan idea dan cadangan dalam merangka strategi terbaik untuk memajukan negara ini.

Tambah beliau, seiring dengan perubahan pantas dunia hari ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memajukan bidang keusahawanan melalui e-dagang untuk menghadapi cabaran di dalam dunia perniagaan.

Katanya, ia sekaligus menggalakkan hubungan dua hala di antara sektor pelaburan bagi mencapai lanskap ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Pada masa sama, Najib berkata, Malaysia kini sedang menggarap kesempatan transformasi digital di dalam industri pembuatan untuk meningkatkan kualiti persaingan di negara ini.

WhatsApp Image 2017-07-28 at 10.29.39

“Selain itu, pihak swasta harus bertindak dengan lebih holistik dengan mempelajari pelbagai strategi seperti kemahiran, pemerkasaan inovasi, teknologi dan kreativiti selain mengubah perspektif dalam usaha meningkatkan produktiviti.

“Sektor industri juga harus memberi tumpuan kepada rantaian bekalan dan bergiat secara aktif dalam aktiviti pembuatan berkualiti tinggi, melalui usahasama rangkaian teknologi terkini,” katanya lagi.