KLEBANG: Lazimnya, remaja dI usia 13 tahun, sedang sibuk bermain dengan rakan-rakan dan memikirkan cita-cita apabila dewasa.

Bagaimanapun tidak bagi Intan Liyana Aqilah Mahd Zaidi, kerana pelajar tingkatan satu itu sedang menghadapi ujian paling sukar apabila mengetahui tempoh hayatnya tidak panjang.

Memiliki karakter peramah dan sentiasa tersenyum, sukar untuk meneka Inta Liyana sebenarnya hanya mempunyai sekitar lima tahun untuk hidup berikutan sejenis penyakit yang dihadapinya.

Remaja ini telah disahkan menghidap penyakit Limb Girdle Muscular Dystrophy iaitu sejenis penyakit otot yang menyerang sel-sel otot pesakit dan kebiasaannya pesakit menghadapi maut di usia 18-20 tahun tahun.

Disebabkan penyakit itu, Intan Liyana tidak boleh melakukan sebarang aktiviti fizikal seperti remaja seusianya secara normal.

Sebelum ini, Malaysia pernah dikejutkan dengan kes kematian arwah adik Muhammad Anas Sadiq Aminuddin berikutan penyakit yang agak sama dan sehingga kini, penyakit ini masih belum menemui penawarnya dan dikatakan masih di peringkat kajian.

Ketika ditanya mengenai cita-citanya, Intan ringkas menjawab ingin menjadi seorang guru tadika, namun air matanya jelas bergenang apabila meluahkan permintaan terakhir sebelum ajal menjemputnya.

“Intan nak pergi umrah, semua orang nak pergi sana, jadi Intan nak ke sana sebelum sakit sangat, sebelum Intan tak sempat…,”katanya sambil mengesat air mata yang bergenang sambil menahan hiba.

Tidak ingin mengeruhkan keadaan, Intan juga sempat menyampaikan hasratnya untuk berjumpa dengan selebriti tempatan seperti seorang remaja perempuan yang normal.

“Nak jumpa Aiman Tino boleh tak?” katanya tertawa kecil kepada pemberita.

Menurut Inta, dia hanya bergantung harap kepada emaknya, Maryani Awang, 46 untuk bergerak sejak hilang keupayaan untuk berdiri dan berjalan pada Disember tahun lepas.

Kata pelajar SMK Aminuddin Baki, Chemor ini, dia redha dengan ujian Allah namun masih berpegang kepada ‘ajal maut ditangan Allah’ dan tetap menaruh harapan ada keajaiban akan pulih dan diberikan peluang untuk hidup lebih lama.

 

remaja-hasrat-ke-mekah 2Intan berkata, dia tidak sanggup lagi melihat kepayahan yang terpaksa ditanggung ibunya yang perlu menjaganya sepanjang masa sehingga terpaksa mendukungnya ke sana sini termasuk ke sekolah.

Ibunya juga tidak pernah jemu berada di sekolah setiap kali pada waktu rehat supaya dia dapat makan.

“Intan, nak pergi Kaabah, nak berdoa semoga Allah beri kesihatan pada Intan, panjangkan umur Intan untuk kembali normal macam orang lain, nak jaga mak balik, nak balas jasa mak.

“Mak…terima kasih mak jaga Intan, kalau mak tak ada susahlah Intan…apa pun tak boleh buat,,” katanya sambil merenung wajah ibu kesayangannya.

Bagi Maryani, dunianya seolah-olah gelap selepas diberitahu doktor anak perempuannya itu tidak boleh hidup lama.

Katanya, menurut laporan kesihatan yang dikeluarkan hospital, penyakit yang dihidapi anak ketiganya itu merupakan satu jenis penyakit yang agak luar biasa masih dan tiada penawarnya lagi kerana masih dalam peringkat kajian.

“Hati ibu mana yang tidak luluh saat diberitahu anak saya tidak boleh hidup lama,” kata Mariyani.

Menurutnya, dia diberitahu ia merupakan sejenis penyakit terjadi berikutan mutasi sel dan seterusnya menyerang organ luaran sebelum menjejaskan rutin organ dalaman anaknya.

“Melihat perubahan pada fizikal anak saya setiap hari, saya jadi takut. Sekarang dia dah tidak mampu berdiri dengan kekuatan sendiri.

“Saya mula sedar ada sesuatu tidak kena ketika umur Intan dua tahun apabila dia sering terjatuh sekiranya ingin bermain dan membawanya jumpa doktor pakar,” katanya.

Menurutnya, tidak lama daripada itu, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur kemudiannya mengesahkan penyakit Intan.

“Saya menerima ini semua sebagai ketentuan Allah, tiada apa yang boleh saya lakukan selain memberinya sepenuh kasih sayang dan penjagaan rapi selagi hayatnya masih ada.

“Doktor pun menasihati saya untuk memberikan perhatian kerana kini penyakit itu sudah mula menyerang bahagian paru-parunya, dan sekiranya oksigen tidak sampai ke otak maka pelbagai penyakit akan datang seperti selesema, batuk dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Menurut Maryani, rutinnya bermula dengan memandikan Intan dan menyediakannya ke sekolah selain mendukung serta memastikannya selesa dengan kerusi roda terpakai sumbangan seorang rakan sekolahnya.

Jelasnya, dia juga akan membelanjakan sekitar RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang serta susu formula khas bagi Intan.

Ibu kepada empat anak perempuan ini berkata, kini hidupnya hanya untuk memastikan impian dan hasrat Intan dipenuhi dan agar dia tidak terasa tersisih.

Hatinya juga tersentak apabila mendengar luahan anaknya mengenai hasrat ingin menunaikan umrah yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Buat masa ini, Maryani sedang mengumpul dana untuk membeli sebuah kerusi roda bermotor bagi memudahkan pergerakan Intan dan hasil sumbangan bekas rakan sekolahnya dulu, mereka sekeluarga telah berjaya mengumpul RM 6,000 untuk tujuan itu.

“Kerusi roda bermotor ini dianggarkan sekitar RM15,000 dan saya masih berusaha mengumpul dana untuk membelinya secepat mungkin, suami bekerja sebagai seorang mekanik, kami pun tak mampu mengumpulkan dengan pantas.

“Kerusi roda bermotor ini boleh beri Intan keselesaan bergerak dan menikmati kehidupan di luar sebelum dia bertambah sakit, dan impian terakhirnya untuk ke umrah, saya akan cuba sebaik mungkin,” kata surirumah itu.

Kepada yang ingin membantu Intan Liyana bolehlah berbuat demikian dengan membuat sumbangan di akaun Maybank, 158435122008 di bawah nama Intan Liyana Aqilah binti Mahd Zaidi.