Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BOTA: Ada bom, ada bom!

Itu merupakan jeritan oleh seorang lelaki berusia 30 tahun yang mendakwa menjumpai bom dalam kenderaannya sekaligus membuatkan orang ramai yang berada di restoran berhampiran berasa cemas.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu, polis telah menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas mengakui kenderaan yang dipandunya mengandungi bom di simpang lampu isyarat Bota Kiri.

Menurut saksi kejadian, Puteri Nurkhalila Megat Harun, sebuah kenderaan jenis Mercedez Benz telah berhenti secara tiba-tiba di persimpangan lampu isyarat sebelum keluar dari kenderaan itu dalam keadaan panik.

Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan terus berteriak dan mengatakan terdapat bom di dalam kenderaannya dan menimbulkan kekecohan di kalangan pelanggan restoran berhampiran milik saksi kejadian.

“Waktu kejadian, saya nampak sebuah kenderaan Mercedez berhenti dan sejurus selepas itu seorang pemandu lelaki keluar daripada kereta dalam keadaan panik, saya pun hairan kenapa kan.

“Tiba-tiba dia jerit ada bom dalam kereta, semua orang dalam kedai makan memang terkejut, terkedu dan tak boleh nak bergerak dah sebab rasa sangat takut dengar lelaki itu jerit macam itu, bahaya kan,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di restoran miliknya berhampiran lokasi kejadian.

Puteri  berkata, anggota polis kemudiannya mengerumuni tempat itu apatah lagi kejadian berkenaan berlaku pada hari perlumbaan Le Tour De Langkawi di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki berkenaan telah berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri selepas memaklumkan perkara tersebut kepada seorang anggota polis yang bertugas pada perlumbaan Le Tour de Langkawi itu.

Menurut Mohamad Zainal, buat masa ini, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) masih lagi menjalankan siasatan terhadap lelaki untuk mengetahui motif sebenar dakwaan terbabit dan turut  menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan.

Difahamkan, peserta perlumbaan LTdL dari Seri Manjung ke Cameron Highlands baru sahaja selesai melalui kawasan tersebut.