TELUK INTAN – Kementerian Pendidikan ada menerima cadangan daripada ibu bapa supaya Program Susu 1 Malaysia (PS1M) diperluaskan ke peringkat sekolah menengah.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan berkenaan supaya manfaat PS1M bukan hanya kepada pelajar sekolah rendah malah sekolah menengah seluruh negara.

“Memang ada dalam senarai cadangan yang kami terima daripada ibu bapa serta pemimpin tempatan supaya PS1M diperkembangkan kepada sekolah menengah.

“Kami di kementerian pendidikan akan memberikan pertimbangan bagi melaksanakan PS1M di sekolah menengah berdasarkan peruntukan kewangan tahun semasa,” katanya ketika ditanya pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Susu 1 Malaysia (PS1M) Peringkat Negeri Perak, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batak Rabit, pagi tadi.

Kamalanthan turut memaklumkan seramai 757,439 pelajar dari 7,780 buah sekolah rendah seluruh negara menerima susu di bawah PS1M bagi tempoh 3 Julai sehingga 2 Disember tahun ini.

Dalam pada itu Kamalanathan turut memaklumkan seramai 757,439 murid membabitkan 7,780 sekolah rendah seluruh negara menerima manfaat PS1M pada tahun ini.

Untuk itu, katanya kementeriannya memperuntukkan RM49.3 juta dari 3 Julai hingga 2 Dis tahun ini untuk program tersebut.

“Susu yang dibekalkan adalah kepada murid yang terpilih daripada golongan taraf sosioekonomi yang rendah dan mengalami kekurangan zat melalui program itu,” katanya.

Sebelum ini, Program Susu Sekolah (PSS) dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran sejak 1983 sehinggalah kemudiannya, penjenamaan semula dilakukan di bawah nama PS1M pada 9 Julai 2010.

Ia merupakan sebahagian daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bertujuan untuk menggalakkan amalan minum susu dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

-Sinarharian