IPOH: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada golongan yang berpendapat kerajaan hari ini tidak harus dipertahankan semata-mata kerana ketegasan membenteras rasuah.

Menurut beliau, golongan itu merasakan lebih baik memilih kerajaan terdahulu yang akan memberi bantuan dan wang secara percuma.

Katanya, walaupun pemberian itu haram tetapi mereka mendapat pendapatan yang lebih daripada yang sepatutnya diperolehi.

“Ada yang berpendapat demikian iaitu kerajaan yang ada ini tidak sebaik kerajaan yang baru lepas kerana kerajaan ini tidak membenarkan kita menerima wang rasuah.

“Justeru itu mereka menganggap bahawa kerajaan ini tidak harus diteruskan, sebaliknya kita kembali kepada kerajaan rasuah yang akan menguntungkan kita.

“Tetapi percayalah, apabila pemimpin dan kerajaan pilihan rakyat sendiri mengamalkan rasuah, kita akan jadi mangsa,” katanya ketika berucap pada majlis townhall bersama penjawat awam negeri Perak di Ipoh pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman.

Tun Mahathir mengajak penjawat awam bersama-sama berkorban dan membersihkan diri daripada rasuah demi untuk masa depan negara yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau menekankan pentingnya perkongsian segala kekayaan negara dengan semua rakyat tanpa kira kaum, agama atau warna kulit.

Katanya, perkongsian itu juga perlu adil agar kerana itulah yang dituntut oleh rakyat yang telah memilih kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, jika ia dilakukan dengan baik dan adil, negara akan terus aman, tanpa tekanan, rusuhan dan keganasan.

“Kalau kita abaikan usaha untuk mengagihkan kekayaan negara kita ini dengan baik, maka akan berlakulah perasaan tidak senang antara satu sama lain dan perasaan ini lama kelamaan akan mencetuskan huru hara dalam negara kita, bahkan lebih daripada itu.

“Sebab itu dalam semua usaha kita, kita tentukan, agihkan kekayaan negara, peluang-peluang dalam negara dan macam-macam lagi hasil daripada pentadbiran yang tidak terlibat dengan rasuah tetap akan dirasai oleh kita semua,” ujarnya.