IPOH – Kerajaan negeri mendedahkan ramai pelabur asing menangguhkan hasrat menanam modal di negeri ini semasa pemerintahan kerajaan terdahulu berikutan syarat yang memerlukan mereka memperuntukkan 30 peratus saham kepada individu tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata syarat itu diletakkan antara perkara utama bagi menentukan kelulusan permohonan mereka.

Menurutnya syarat tidak munasabah itu menyebabkan wujud rasa sangsi para pelabur asing sehingga ada yang menangguhkan hasrat untuk melabur di negeri ini.

“Ini menyebabkan pelabur menangguhkan hasrat untuk melabur sebelum ini di negeri ini kerana mereka tidak mahu terlibat dengan perkara yang negatif.

“Jadi, kerajaan (Pakatan Harapan) pada hari ini memberi jaminan tidak akan bertolenrasi dengan perkara sedemikian kerana kita mahu mempamerkan sikap keterbukaan dan bebas dari sebarang amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani ikrar bebas rasuah antara Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di sini hari ini.

Lafaz ikrar itu diketuai oleh Pengerusi FMM Perak Datuk Gan Tack Kong dan disaksikan Pengarah SPRM negeri Datuk Zainul Darus.

Seramai 45 orang ahli FMM yang berdaftar turut hadir dalam sesi tersebut.

Sementara itu, Gan dalam ucapannya berkata kehadiran Mohammad Nizar menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang baharu untuk menghapuskan rasuah di semua peringkat di dalam negeri ini.

“Ini dibuktikan apabila Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah memecat khidmat tujuh orang ketua pegawai eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan yang dilantik berdasarkan lantikan politik yang dikaitkan dengan kerajaan terdahulu, ” katanya.

Menurut beliau, sesi menandantangani ikrar bebas rasuah ini membuktikan kesungguhan ahli FMM terhadap persekitaran perniagaan yang dibina atas dasar ketelusan, integriti dan bebas dari unsur rasuah.

1/3