IPOH: Kerajaan negeri mengesan unsur pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, berdasarkan hasil ujian sampel terhadap Sungai Rui, Jabatan Alam Sekitar (JAS) JAS menemui bahan logam berat dipercayai mengandungi arsenik.

“Beberapa sungai menunjukkan tanda pencemaran berlaku namun tidak sampai tahap (pencemaran) Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor.

“Kawasan atau lokasi yang dipercayai terbabit adalah di Sungai Rui, yang terletak di daerah Hulu Perak, pertamanya berkisarkan kepada kekeruhan kelodak dan keduanya, kadar pH (air), dan ketiganya kehadiran logam berat, difahamkan ada arsenik.

“JAS sudah lama memantau keadaan sungai itu dan sampel sungai sudah diambil sejak 2016,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, aktiviti perlombongan dipercayai menyumbang kepada pencemaran itu namun keadaan itu tidak membabitkan sebarang aktiviti haram.

“Syarikat perlombongan (di kawasan sungai itu) sudah beroperasi lama dan mereka adalah antara ‘veteran lines’ (syarikat beroperasi sejak puluhan tahun lalu).

“Mereka (syarikat perlombongan) sedar perkara ini, jadi apa yang saya mahu katakan kerajaan negeri menyedari keadaan itu dan sedang mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan, berkata Sungai Rui sebahagian daripada anak Sungai Perak dan indeks kualiti air sungai berkenaan dikategorikan pada kelas dua iaitu masih tahap baik.

“Sekarang menunjukkan ada sedikit kehadiran arsenik dipercayai aktiviti perlombongan dan memberi kesan kepada penduduk kampung (sekitar).

“Daripada segi kualiti sungai agak normal namun sampel air akan diambil dari semasa ke semasa untuk pastikan sungai itu selamat,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai isu Sungai Perak yang semakin cetek dan kotor sehingga tuntung tidak lagi mendarat di Bota, Abdul Aziz berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenainya – Berita harian