TEMERLOH: “Ada yang menangis, menjerit meminta tolong kerana terperangkap dalam kenderaan.

“Saya tak dapat buat apa-apa selain menghubungi pasukan penyelamat.”

Lelaki dikenali sebagai Lim adalah saksi terawal kes kemalangan maut di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Temerloh, Batu 7, pagi tadi.

Sebelum kejadian, beliau yang dalam perjalanan ke Karak dari Mentakab memberhentikan kereta secara mengejut selepas sebuah kenderaan membrek secara tiba-tiba.

Lim kemudian keluar dari kenderaan dan terkejut melihat sebuah Proton Exora dan Toyota Hilux serta treler terbabit dalam kemalangan.

“Saya menghampiri Proton Exora itu dan melihat mangsa di dalamnya Saya tergamam apabila ada yang mengetuk cermin sambil menjerit meminta tolong tapi saya tak dapat buat apa-apa.

“Saya terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk bantuan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau turut bimbang selepas mendapati tangki minyak sebuah daripada kenderaan terbabit bocor namun berjaya dikawal pasukan bomba yang tiba tidak lama kemudian.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua beradik yang menaiki Proton Exora, Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20, dan adiknya, Khasrul Ikhwan, 18 serta pemandu Toyota Hilux, Chua Jyh Shyong, 37, maut.

Siasatan awal mendapati treler membawa muatan kertas dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan.

Ia kemudian merempuh Proton Exora dan Toyota Hilux, menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing – berita harian