Keputusan pengadil perlawanan separuh akhir ke-2 TM Piala Malaysia 2017 antara tuan rumah, JDT menentang Perak malam semalam sekali lagi menjadi buah mulut peminat bola sepak tempatan.

Ketika JDT sedang mendahului 1-0 (2-1 secara agregat), Perak mempunyai satu gol yang dibatalkan oleh pengadil kerana penyerang Perak, Zaquan Adha dipersalahkan kerana ofsaid.

Insiden ini bukan sahaja mengundang rasa tidak puas hati pemain-pemain Perak. Malah turut dipersoalkan oleh sesetengah peminat bola sepak tempatan yang mendakwa keputusan pengadil yang sentiasa memihak kepada tuan rumah di Larkin adalah sesuatu yang ‘normal’.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Insiden kontroversi ini berlaku pada minit ke-61. JDT yang hilang bola di kawasan separa ruang (half space) kanan kepada Nasir Basharuddin memberi ruang kepada Perak untuk menyerang balas.

Nasir Basharuddin terus menghantar bola kepada Gilmar. Gilmar pula terus melarikan bola sebelum membuat hantaran lintang rendah ke Zaquan Adha yang menunggu di far post. Di antara Gilmar dan Zaquan, terdapat 3 pemain JDT iaitu Afiq Fazail, Junior Eldstal dan S. Kunanlan.

Hantaran lintang Gilmar berjaya mencetuskan panik dalam kotak penalti JDT sehingga menyebabkan gol. Bagaimanapun gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, Zohri Tajudin selepas penjaga garisan, Nojey Naking mendakwa Zaquan Adha (yang berada dalam kedudukan ofsaid) menyentuh bola tersebut.

Mengapa gol Zaquan Adha dibatalkan?

Berdasarkan pindaan terbaru buku peraturan bola sepak, Laws of the Game, berada dalam kedudukan ofsaid bukanlah satu kesalahan. Pengadil tidak akan menghukum anda jika anda berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun berada di kedudukan ofsaid akan menjadi satu kesalahan apabila anda terlibat secara aktif dalam permainan dengan melakukan 3 perkara di bawah:

– menganggu permainan
– menganggu pemain lawan
– mendapat kelebihan dengan berada di kedudukan ofsaid

Dalam insiden malam semalam, Zaquan jelas terlibat secara aktif dalam permainan apabila mendapat kelebihan (mendapat gol) dengan berada di kedudukan ofsaid.

Oleh sebab itulah, gol Zaquan dibatalkan oleh pengadil.

Bagaimanapun isu timbul apabila sesetengah peminat bola sepak yang menyaksikan ulang tayang perlawanan semalam mendakwa S. Kunanlan terlebih dahulu menyentuh bola sebelum Zaquan.

screen_shot_2017_10__M0eA0-768x368

Apabila S. Kunanlan berjaya menyentuh bola terlebih dahulu berbanding Zaquan, di sinilah peraturan peraturan ofsaid menjadi sedikit kompleks.

Berdasarkan buku Law of the Games:

“Jika pemain yang ofsaid menerima bola daripada pemain lawan yang menyentuh bola (kecuali pemain yang cuba menyelamatkan bola) terlebih dahulu, beliau tidak dikira ofsaid.”

Ini bermakna jika benar Kunanlan menyentuh bola sebelum Zaquan, gol tersebut adalah sah.

Berdasarkan situasi malam semalam, sama ada Zaquan dapat menyentuh bola atau tidak – gol tersebut SAH JIKA Kunanlan menyentuh bola hantaran lintang Gilmar.

semuanyabola.com