KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari tadi.

Ini disahkan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, yang juga pakar kardiologi dan berpengalaman merawat pemimpin veteran itu.

Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung HUS kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.

Antara yang terawal menziarahi jenazah Adenan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang bergegas ke Pusat Jantung HUS sejurus dimaklumkan berita berkenaan.