MELAKA: Bayi perempuan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dijangka akan terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik tiba di tanah air, hari ini.

Ainul Mardhiah, 10 bulan, bersama bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi dijadual berlepas dari London pada jam 9.35 malam (5.35 pagi waktu Malaysia).

“Ainul dijangka sampai esok (hari ini) dan terus ke HKL,” katanya ketika dihubungi, di sini malam tadi.

Berdasarkan status yang dimuat naik Ahmad Safiuddin, 24, petang tadi, mereka sedang membuat persiapan rapi bagi memastikan Ainul sembuh dan kuat berikutan bayi sulungnya itu pernah mendapat jangkitan selepas mengharungi penerbangan panjang selama 13 jam.

“Disebabkan Ainul terlalu ‘fragile’, doktor minta supaya kurang mendedahkan Ainul supaya risiko mendapat jangkitan dapat dikurangkan.

“Bagaimanapun, kami sangat berbesar hati dan gembira bila dapat pulang ke tanah air. Malaysia adalah tempat Ainul!,” katanya menerusi statusnya.

Ainul Mardhiah yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di sebuah Hospital Kanak-kanak di United Kingdom (UK), 10 Jun lalu, terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta itu berjaya dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Profesor David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri.

-BeritaHarian