KAMPAR 14 Jan. – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram bersama kakak kandungnya, dua tahun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya secara tertutup di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan dengan kakaknya yang berusia 16 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Diawan Kampar pada Disember 2017 hingga Mei 2018.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassanor di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun beserta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari ini. – UTUSAN ONLINE