Oleh: Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Tiada kata-kata yang mampu diucapkan Nor Salwati Abu Bakar takala diberitahu doktor tiada penawar atau rawatan yang mampu menyembuhkan penyakit kanser tahap empat yang dihidapi anak bongsunya.

Namun, itulah hakikat pahit yang perlu ditelan Norsalwati setelah anak ketiganya, Muhd Faiz Mohd Abdul Shukor yang berusia dua tahun disahkan menghidap kanser mata pada September tahun lalu.

Walaupun hatinya luluh, ibu tiga anak ini begitu tenang sekali menceritakan derita yang ditanggung anak kesayangannya akan tahap kesihatannya yang semakin buruk setiap hari.

Jika sebelum ini mata kanannya masih lagi berfungsi, kini Muhd Faiz kehilangan kedua-dua deria penglihatannya akibat sel kanser yang semakin merebak.
Menurut Norsalwati, 30, anaknya masih mampu melihat dengan sebelah mata sepanjang bulan Syawal lalu tetapi kini hilang nikmat melihat dunia sepenuhnya.
“Sewaktu kami bawa dia ke Hospital (Raja Permaisuri Bainun) Ipoh bagi sesi rawatan, dia memegang kedua matanya yang bengkak. Tiba-tiba dia cakap ‘mama adik dah buta, adik tak nampak, adik nak tengok mama’.

“Ketika itu saya terdiam, saya tak pasti sama ada dia tahu apa itu buta. Saya jadi terlalu sebak melihat nasib Faiz terpaksa tanggung derita pada usia sekecil ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Temong Hulu, Kati di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak hari itu, dia dan suami berulang-alik ke hospital di Kuala Lumpur dan Ipoh selama 17 hari tanpa henti untuk mendapatkan rawatan kimoterapi bagi mengurangkan sel kanser Muhd Faiz.

Harapan agar rawatan kimoterapi mampu membantu berkecai apabila diberitahu pakar perubatan bahawa hayat Muhd Faiz mungkin tidak panjang sekiranya berterusan diberikan kimoterapi.

“Kami diberitahu kesihatan Muhd Faiz akan bertambah buruk sekiranya dia diberikan rawatan kimoterapi berterusan.

“Ini kerana penyakit kansernya sudah merebak ke tahap empat dan kritikal. Dengan usianya yang masih kecil tubuhnya tidak mampu menerimanya lagi.

“Doktor memberitahu Faiz perlukan lebih daripada enam sesi kimoterapi untuk mengurangkan sel kanser dan ini akan memberi kesan kepada dirinya.

“Dengan kata lain, sudah tiada ubat atau rawatan yang boleh sembuhkan anak kami. Malah doktor nasihatkan saya membawa Muhd Faiz pulang ke rumah,” katanya sambil cuba menahan perasaan sedih.

Suaminya, Mohd Abdul Shukor Abd Rani, 35, berkata, beliau amat kagum dengan kecekalan hati satu-satunya anak lelaki mereka yang bertarung nyawa melawan penyakit kansernya.

Katanya, Muhd Faiz tidak pernah sekali pun merungut dan mengadu sakit kecuali sesekali menyentuh balutan yang menutupi mata kirinya.

“Dia tak akan mengadu sakit, sedangkan kita tahu kimoterapi membuatkan dia lemah, demam dan muntah dan sering panas badan. Kami sentiasa bertanyakan keadaannya, tapi mungkin dia tak nak kami risau.

“Satu lagi, Faiz anak aktif, biarpun rambut dah banyak gugur dan berasa lemah, tetapi dia main macam biasa, masih mengusik dua orang kakaknya,” katanya ketika menceritakan perihal anak syurganya itu.

Abdul Shukor berkata, beliau menerima dengan reda keputusan doktor mengenai status kesihatan Faiz namun tidak pernah sekali mengalah mencari rawatan alternatif sehingga hari ini.

“Saya tidak putus asa cuba mencari rawatan tradisional terbaik buat Faiz. Rutin harian kami adalah memastikan balutan matanya dicuci dan ditukar setiap pagi dan membawa ke hospital buat pemeriksaan. Saya tidak akan berputus asa,” ujarnya.

Sepanjang temubual berlangsung, Muhd Faiz sendiri kelihatan sering membelai wajah ibunya dan mencari tangan ayahnya seolah-olah mengerti dan menyelami pengorbanan kedua orang tuanya itu.

derita-kanser

Malah, sesekali Muhd Faiz akan mengusik kedua-dua kakaknya sambil menyebut “malu-malu, Kak Long, Kak Ngah”.

Ayah yang cekal itu berkata, anaknya juga agak sukar bernafas kerana saluran udara yang kian menyempit selain rangka pipi yang retak akibat sel kanser yang telah merebak ke bahagian lain di mukanya.

Namun, beliau tetap gembira apabila melihat Muhd Faiz sudah boleh makan nasi bersama lauk kegemarannya berbanding sebelum ini yang tidak berselera langsung sepanjang rawatan kimoterapi.

“Hajat saya, kalau boleh pada suatu pagi nanti saya nak Faiz bangun celik mata, panggil mak ayah dan dia dapat lihat wajah kami dan kakaknya, Kak Long dan Kak Ngah, itu sahaja.

“Kalau boleh saya ambil azab dan beban Faiz, saya sedia tanggung semuanya kerana tidak tahan lagi melihat penderitaannya,” katanya.

Beliau terpaksa berhenti kerja kampung kerana tidak ingin berenggang dengan anak lelakinya yang sering mencari sentuhan ayahnya pada setiap masa.

“Kepada rakan-rakan termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli serta semua yang datang membantu sebelum ini, terima kasih saya ucapkan, doakan kesihatan Faiz,” katanya mengakhiri perbualan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang ke akaun BSN Nor Salwati Abu Bakar 08200-41-00017119-4 atau menghubunginya di talian 6010-914 8604.