IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan setiausaha kepada Speaker Dewan Negeri, P Devandran yang didakwanya menggunakan bangunan kerajaan bagi kepentingan peribadi.

Sivasubramaniam berkata, beliau menerima aduan bahawa Devandran dipercayai menggunakan 300 kotak-kotak makanan bagi meraih undi untuk jawatan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Ipoh.

Beliau mendakwa, kotak-kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU) telah diletakkan di kawasan sekolah yang sepatutnya sebahagian daripada Program Bantuan Makanan Ikhlas Bina Upaya.

“Saya telah melawat sekolah berkenaan pada Ahad lepas dan maklumat daripada pihak sekolah memberitahu kotak-kotak makanan itu telah diagihkan pada Rabu dan Jumaat lalu, dipercayai untuk memujuk ibubapa memilih Devandran yang bertanding sebagai salah seorang calon Pengerusi PIBG.

“Yang saya hairan, bagaimana barangan program YBU yang sepatutnya menjadi agihan kepada rakyat miskin boleh diseludup dan disembunyikan di dalam sebuah bilik sekolah kerajaan, dan apakah mereka telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pelajaran untuk meletakkannya di sana? katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak polis menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.

“Perkara ini harus disiasat secepat mungkin kerana ia membabitkan sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi pusat ilmu bagi murid, dan bukan untuk kepentingan mengundi pengerusi persatuan dengan menggunakan barangan untuk miskin tegar,” ujarnya lagi.