TAPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor adalah antara 12 orang yang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM 329 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan batu forselin yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas di tengah lebuhraya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kereta Honda CRV (SUV) yang dipandu Zainun, 62 dan kenderaan pelbagai guna, Proton Exora dikatakan terlanggar lori berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua SUV dan MPV itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

“12 orang mangsa yang terlibat menerima rawatan di Hospital Tapah tetapi tiada yang mengalami kecederaan serius,” katanya.

Pemandu lori, Muhammad Firdaus Che Embok, 33, dari Lunas, Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Zainun, 62, pula diberikan rawatan di wad kecemasan Hospital Tapah.

Pemandu Proton Exora, Mohamad Hashim Mohamad Mukhtar, 46, dari Enggor hanya mengalami kecederaan ringan.

“Keadaan jalan ketika kejadian mendapati jalan lurus dan dua lorong dengan keadaan cuaca hujan lebat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambah beliau.