PETALING JAYA : Polis hari ini mengesahkan wakil rakyat Selangor yang ditahan dalam serbuan bulan lepas didapati negatif dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ramli Din berkata selepas serbuan, sampel air kencing suspek-suspek dihantar ke ahli patologi untuk ujian.

“Ada yang didapati positif, dan ada yang didapati negatif, termasuk Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

“Selepas polis merujuk kes itu ke Jabatan Peguam Negara, ia telah diputuskan NFA (tiada tindakan lanjut),” katanya.

Adhif antara 17 yang ditahan dalam serbuan pada 12 Jan.

Menurut polis, mereka ditahan atas dakwaan penyalahgunaan dadah dan kegiatan judi.

Adhif beritahu media beliau ke bangunan tempat kejadian untuk sesi perbincangan sahaja, tetapi “berada di tempat yang salah pada masa yang salah”.