IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Hassan dipercayai tidak sedarkan diri di rumahnya sebelum dihantar ke Hospital Taiping pada awal pagi Selasa.

Difahamkan, Mohd Zawawi tidak sedarkan diri setelah terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Kampung Tebuk Panchur, di sini lebih kurang jam 10 pagi.

ADUN Selinsing, Husin Din ketika dihubungi berkata, kejadian Yang Dipertua (YDP) PAS kawasan Bagan Serai terjatuh di dalam bilik air itu hanya disedari isterinya.

“Sebaik sahaja isterinya menyedari keadaan Mohd Zawawi, beliau segera dikejarkan ke Hospital Taiping sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh sekitar pukul 3 petang tadi.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati beliau disyaki mengalami pendarahan di kepala.

“Buat masa ini, beliau ditempatkan di Hospital Besar Ipoh dan kita sama-sama mendoakan agar keadaan beliau beransur pulih,”katanya ketika dihubungi, pada petang Selasa.

Difahamkan, isteri Mohd Zawawi pada ketika itu secara kebetulan pulang sebentar ke rumah dari tempat kerja di Madrasah Ehya As-Sharif, Gunung Semanggol.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapi Mohd Zawawi.

Husin berkata, Mohd Zawawi yang juga Setiausaha PAS Perak difahamkan agak sibuk dalam memenuhi undangan program parti dan tinjauan turun padang sebagai wakil rakyat sejak seminggu lalu.

“Sehingga kini, saya dimaklumkan beliau masih belum sedarkan diri.

“Doktor akan membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar dan kini beliau mendapatkan rawatan sebaiknya di Hospital Besar Ipoh,” ujarnya lagi.

Husin turut meminta semua pihak mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Mohd Zawawi di samping berharap agar penyakit dialami tidak serius.

“Saya juga berharap jangan ada sebarang spekulasi mengenai keadaan kesihatan beliau sementara menunggu doktor mengesahkan penyakit dihidapi,”katanya.