IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Hassan yang tidak sedarkan diri selepas terjatuh di dalam bilik air di kediamannya pagi tadi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

ADUN Sungai RapatRadzi Zainon berkata, Mohd Zawawi ketika ini sedang menunggu pembedahan oleh doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk merawat pendarahan yang berlaku di otak sebelah kanannya.

BERITA TERDAHULU:

ADUN Gunung Semanggol Alami Pendarahan Kepala, Tidak Sedarkan Diri Selepas Terjatuh

Katanya, sebelum kejadian sekitar jam 10 pagi itu, Mohd Zawawi yang merupakan Setiausaha PAS Perak ada mengadu berasa pening serta sakit kepada isterinya.

“Itu mungkin tanda-tanda awal tetapi Ustaz Mohd Zawawi mungkin merasakan ianya perkara kecil dan terus melakukan kerja-kerjanya sebagai seorang wakil rakyat.

“Perkara ini mungkin berlaku secara tiba-tiba kerana tekanan tugas serta kurang rehat memandangkan beliau merupakan setiausaha apatah lagi musim-musim Pilihan Raya ini.

“Sama-sama kita mendoakan kesihatan beliau supaya segalanya berjalan dengan lancar, Insyaallah,” katanya ketika ditemui di HRPB, di sini pada Selasa.

Dilaporkan kejadian yang berlaku di kediaman Mohd Zawawi yang terletak di Kampung Tebuk Panchur, Bagan Serai itu berkemungkinan besar berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapinya.