IPOH 20 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat pemilik akaun Facebook atas nama Jin Hong ekoran memuat naik status didakwa berunsur ugutan terhadap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Zhemin berkata, beliau menyedari status berkenaan dimuat naik kira-kira pukul 9 pagi hari ini dalam bahasa Mandarin tertulis ayat berbaur ugutan dengan disertakan gambar kedua-dua pemimpin DAP tersebut bersama sepucuk pistol.

Ayat ditulis itu ialah ‘Kedua-dua ini dari Pakatan Harapan. Yang saya geram, engkau tunggu, saya akan bunuh kamu, kau berdua akan pergi menemani Teoh Beng Hock’.

Zhemin berkata, beliau mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pengguna sebenar Facebook tersebut kerana telah membuat ugutan bunuh.

“Saya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas ini bagi menggesa pihak berkuasa mengenal pasti identiti pengguna Facebook berkenaan,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE