Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Tidak lengkap rasanya Ramadan ini tanpa kehadiran golongan anak yatim yang diundang khusus untuk menjadi tetamu istimewa dalam program berbuka puasa atau iftar bersama-sama.

Menyahut keberkatan bulan penuh mulia dan amal jariah itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal tidak terlepas dalam menjemput insan-insan istimewa itu sempena Majlis Berbuka Puasa di D Polo Kafe pada malam Selasa.

Mohamad Ziad berkata, antara yang terlibat adalah golongan asnaf dan OKU dari sekitar DUN Manjoi serta anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim An-Nur Maisarah, Chemor dan Kompleks Anak Yatim Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

WhatsApp Image 2017-06-13 at 23.47.55

“Aktiviti berbuka puasa dan penyerahan duit raya ini dijalankan sempena bulan Ramadan yang penuh dengan amal, sedekah dan mendatangkan kegembiraan buat anak-anak yatim dan golongan memerlukan,” katanya.

Ziad turut mengucapkan tahniah kepada Ipoh Halal Food (IHF) yang menghubungi beliau bagi menganjurkan program itu.

“Apa yang dilakukan oleh IHF ini merupakan satu usaha komuniti berterusan yang membolehkan wakil rakyat menjejaki mereka yang memerlukan, saya yakin apa yang mereka lakukan selama ini merupakan contoh terbaik bagi rakyat Perak.

“Justeru, saya menyeru kepada semua untuk tidak teragak-agak menyertai mereka sebagai sukarelawan dan meringankan beban masyarakat setempat dengan semampunya,” ujarnya lagi.