LUMUT 24 Mei– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor memberi tempoh tiga hari kepada penulis sebuah laman web supaya meminta maaf kerana menuduh pegawai khas beliau mengawal semua projek dalam daerah ini.

Yahaya berkata, tempoh tiga hari yang diberikan itu bermula hari ini sehingga Ahad dan sekiranya permohonan maaf serta tidak menarik semula artikel tersebut, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, walaupun dalam artikel tersebut tidak menyebut nama beliau tetapi secara jelas penulis artikel itu menggunakan perkataan bekas guru.

Katanya, itu sudah cukup untuk merujuk beliau yang merupakan ADUN Pasir Panjang.

“Artikel berkenaan mengandungi fitnah dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dengan mengatakan pegawai khas ADUN dari parti Amanah daerah Manjung membolot semua projek kerajaan di daerah ini.

“Perkara tersebut tidak pernah berlaku dan ia adalah pembohongan semata-mata,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pusat khidmatnya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, pihaknya telah menghubungi penulis berkenaan melalui email dan meminta menarik semula semua tuduhan di dalam artikel berkenaan namun sehingga kini masih menerima sebarang maklum balas.

Katanya, permohonan maaf yang dibuat perlulah disiarkan di dalam laman web berkenaan serta dalam akhbar tempatan di dalam bentuk yang dianggap munasabah.

“Sekiranya saya tidak menerima sebarang permohonan maaf dari penulis serta pengendali laman web berkenaan dalam tempoh ditetapkan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat pihaknya bersama pegawai khasnya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Rabu selepas sehari artikel berkenaan disiarkan.

Sebelum ini sebuah laman web menyiarkan artikel bertajuk ‘Pegawai Khas ADUN Perak besar kepala, bolot projek’ yang disiarkan Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE