IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji dari DAP, Howard Lee Chuan How diarah keluar dewan oleh Speaker, Datuk S Thangeswari kerana tidak mematuhi Perintah Tetap 44 (2) Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan, Dewan Undangan Perak Darul Ridzuan.

Menurut Thangeswari, Howard Lee tidak menghormati dan mengikut arahannya serta telah menimbulkan kekecohan.

Terdahulu Howard mengusulkan supaya ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika sesi perbahasan 24 November lalu.

Bagaimanapun, Speaker menolak usul itu yang menyebabkan timbul rasa tidak puas hati Howard Lee dan beberapa wakil rakyat pembangkang.

Menurut Thangeswari, walaupun perkara itu dilaporkan di dalam beberapa akhbar berbahasa Cina pada Sabtu tetapi ia tidak tercatat di dalam hansard.

Dewan kecoh hampir 30 minit apabila berlaku berbalas-balas hujah antara wakil rakyat pembangkang dengan wakil kerajaan dan Thangeswari.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid telah mengusulkan Perintah-Perintah Tetap 44 (3) Perintah-perintah tetap Dewan Perhimpunan Dewan Undangan Perak Darul Ridzuan supaya Howard Lee digantung perkhidmatannya sehingga tamat sidang dewan.

Usul itu dipersetujui dan Howard Lee dibawa keluar dewan oleh bentara diiringi semua wakil pembangkang kecuali tiga wakil rakyat PAS.