IPOH: Walaupun Perak telah berjaya mengungguli jumlah pelancong kedua tertinggi di Malaysia, namun kebanyakan pengunjung hanya singgah di negeri ini untuk jangka masa agak pendek, malah ramai yang tidak bermalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, keadaan ini dapat digambarkan dengan kadar purata penginapan hotel yang masih kurang memuaskan dan perbelanjaan pelancong yang agak rendah secara keseluruhan.

Menurut beliau, ini menyebabkan kesan limpahan ekonomi sektor pelancongan terhadap komuniti tempatan masih jauh daripada sasaran.

“Maka, kerajaan negeri telah menjalankan kajian dan analisa untuk tujuan posisi semula pelancongan bagi mengenalpasti kekuatan dan keboleh pasaran negeri Perak, terutamanya berbanding dengan negeri jiran seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak.

Beliau memberitahu, tiga fokus utama iaitu posisi semula, penjenamaan semula dan segmentasi bagi sektor pelancongan negeri Perak, di mana, tidak hanya mempromosikan negeri Perak untuk makanan sahaja, tetapi menawarkan lebih banyak produk.