PETALING JAYA : Agensi pelancongan yang menyaman Mohamed Azmin Ali atas dakwaan gagal membayar bil pelancongan lebih RM300,000, memohon supaya 4 orang anak menteri hal ehwal ekonomi itu turut dimasukkan dalam saman berkenaan.

Peguam Adam Yap, yang mewakili YHA Travel & Tours, berkata permohonan untuk meminda tuntutan mahkamah itu akan difailkan minggu ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani menetapkan 23 Jan untuk perbicaraan sementara menunggu permohonan syarikat itu.

Azmin memfailkan tuntutan balas di mahkamah pada 13 Dis, menafikan liabiliti ke atas akaun 4 orang anaknya iaitu Farah Afifah, Farah Amira, Farah Shazliyana dan Mohamed Ameer Shazrin.

Beliau berkata keempat-empat anaknya, yang semuanya sudah dewasa, bersedia membayar jumlah yang tertunggak kepada YHA Travel & Tours.

Beliau bagaimanapun menerima liabiliti ke atas akaunnya dan akaun 2 orang anaknya yang masih di bawah umur.

YHA Travel & Tours menyaman Azmin bulan lalu, menuduh beliau gagal membayar RM328,901 bil pelancongan untuk dirinya dan keluarganya walaupun diminta berulang kali.

Azmin memfailkan tuntutan balas, mengatakan pemilik agensi itu terlibat dalam konspirasi terhadapnya berhubung kontroversi video seks sejenis awal tahun ini.

Beliau mendakwa pemiliknya, yang merupakan pasangan suami isteri, “mempunyai hubungan yang rapat” dengan presiden PKR Anwar Ibrahim dan anak pasangan itu, Muhammad Haziq Hassan serta pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, sebelum ini ditangkap polis untuk membantu siasatan konspirasi jenayah dalam penyebaran klip video seks sejenis.