Kerajaan Negeri Perak bersama BAIDURI menyerahkan 20,000 kotak juadah raya untuk diagihkan kepada 18 anggota keselamatan dan pasukan beruniform bersempena Syawal tahun ini.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan ini disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Hadir sama Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Polis Perak; Datuk Hasnan Hassan dan isteri Menteri Besar merangkap Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Antara jabatan yang terlibat dalam pengagihan kotak juadah raya ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA); Markas 2 Briged; Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

agihan-kotak 6
Dalam ucapannya, Dr Zambry berkata pengorbanan dari anggota keselamatan dan beruniform merupakan tunjang kepada kedaulatan keamanan negeri Perak.

“Bekalan yang diberikan ini sememangnya tidak dapat dibandingkan dengan jasa pasukan yang bertugas dan berkhidmat ketika musim perayaan,” katanya di Majlis Penyerahan Juadah Raya Kepada Pasukan Keselamatan Negeri Perak dan BAIDURI Sempena Aidilfitri 2017.

Terdahulu, proses pembungkusan kotak juadah raya telah disempurnakan oleh Saripah bersama 440 orang petugas yang terdiri daripada 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya ialah BAIDURI, PUSPANITA, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), BAKAT (Laut), BAKAT (Darat) dan PERKEP.

Bahan makanan yang dibekalkan di dalam kotak tersebut adalah rendang tok, serunding, kopi, kuah kacang dan beras, sesuai dengan menu yang dihidangkan bersempena Syawal.