KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Ia merangkumi jumlah pembayaran pengagihan sebanyak 7.00 sen seunit dengan jumlah anggaran pembayaran sebanyak RM10.7 bilion yang akan memanfaatkan 9.6 juta pemegang unit yang memiliki 155 bilion unit dalam ASB.

Bagi dana unit amanah harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN), ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan hasil dividen 5.1 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih dana berkenaan setakat 20 Disember 2018.

Jumlah anggaran pengagihan sebanyak RM59.7 juta akan dimanfaatkan lebih 1.2 juta pemegang unit dengan lebih 1.8 bilion unit dalam dana.

Pada tahun lalu, ASNB mengumumkan agihan pendapatan tujuh sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit bagi ASB.

Ia juga mengumumkan Bonus Khas Ulang Tahun Permodalan Nasional Bhd (PNB) ke-40 sebanyak satu sen seunit untuk baki sehingga 10,000 unit bagi ASB untuk tahun kewangan itu.Bagi ASN pula, ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.65 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 – berita harian