KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, setakat ini tidak menerima sebarang permohonan sembah menghadap di Istana Negara.

Sumber Istana Negara memaklumkan baginda ketika ini berada di Kota Permai, Shah Alam selepas berkenan menghadiri perlawanan golf di sana.

“Baginda sejak pagi ada di sini. Tetapi acara akan habis sebentar lagi.

“Lepas ini, baginda akan berangkat pulang ke istana,” katanya kepada BH, hari ini.

Al-Sultan Abdullah tiba di Istana Negara kira-kira 4.30 petang tadi.

Awal pagi tadi beberapa mesej yang viral di WhatsApp, mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Dr Mohamed Azmin Ali, akan ke Istana Negara petang ini.

Bagaimanapun, perancangan itu kemudian mengalami perubahan apabila mesej berikutnya mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan menangguhkan kunjungan ke istana pada jam 6 petang ini.